Penulis Jemputan : Keranda Batu
BUKAN BEGITU, ADIKKU.
Tangisan emak jelas didengari hingga ke ruang tamu. Sedu sedan dalam berdoa kepada Allah menunjukkan betapa ibu begitu sayangkan adik. Pedih dan sebak yang ibu rasai seolah tidak tertanggung lagi. Tanpa aku sedari, air mataku menitis lembut ke pipi. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Aku tahu penderitaan yang ibu dan ayah tanggung sejak adik menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan Joe. Sebagai kakak, telah berbuih mulut aku cuba menasihati adik tapi semuanya hanya sia-sia. Lebih teruk lagi, pelbagai helah adik gunakan untuk mendapat simpati dengan harapan ayah dan ibu menurut permintaannya. Begitu kasih emak dan ayah kepada adikku yang bernama Aida ini. Aida mula menunjukkan perubahan sikap yang amat ketara sejak pulang dari Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun lalu. Sejak itu, Aida sering menimbulkan kemarahan dan kebimbangan kami sekeluarga.Hasratnya untuk mendirikan rumah tangga dengan Joe tidak pernah luntur. Masalah timbul kerana Joe bukanlah seorang lelaki yang baik yang boleh diharapkan untuk membimbing adikku. Kerana itulah keluargaku tidak membenarkan Aida bersama Joe. Kami sekeluarga hanya mahukan yang terbaik buat Aida.
“Aida nak pergi dari sini. Semua orang benci dan tak sayangkan Aida lagi. Biarkan saja Aida pergi dari sini”.
Lamunanku terhenti dengan jeritan yang tiba-tiba kedengaran itu. Datangnya seakan dari sudut dapur rumah kami. Aku yang dari tadi asyik dengan ingatan terhadap ibuku, tersentak bercampur terkejut yang amat. Tidak tahu mengapa, tetapi seakan dapat aku duga sesuatu akan berlaku dalam keluarga kami petang itu. Aku bergegas ke dapur untuk memastikan apa yng berlaku. Ibu mengekoriku dari belakang .
“Kau nak pergi ke mana? Kau masih muda lagi. Jangan terlalu ikutkan perasaan kau tu.” Tiba-tiba suara garau ayah kendengaran memarahi adik.
“Saya nak keluar dari rumah ini. Joe lebih sayangkan saya dari ahli keluarga sendiri. Joe mengambil berat diri saya.”
“Kau sedar tak apa yang kau cakapkan ni Aida? Sedarlah siapa Joe yang sebenarnya!” Aku tidak dapat bertahan lagi dengan kerenah Aida.
“Kakak jangan masuk campur. Kakak pun sama dengan ibu dan ayah, tak nak Aida hidup gembira. Semua tak sayangkan Aida.”
“Bukan begitu Aida. Ayah, ibu dan kakak semua sayangkan Aida. Kami hanya nak yang terbaik untuk Aida.” Tiba-tiba suara lembut ibu kedengaran cuba meyakinkan Aida.
“Biarkan saja Aida pergi ibu. Aida takkan menyusahkan ibu dan ayah lagi. Takkan menyusahkan sesiapa lagi.”
“Kau jangan ikutkan perasaan kau tu sangat. Nanti kau akan menyesal. Joe tu bukan lelaki yang baik. Kau pun tau yang Joe tu tak boleh dipercayai. Peribadi Joe pun teruk.”
“Cukup kak, Aida tak nak dengar lagi kakak meburuk-burukkan Joe. Bagi Aida, Joe adalah segala-galanya. Sejak Aida pulang dari PLKN semua macam tak suka kat Aida. Kan lebih baik kalau Aida tak balik. Lebih baik mati je kat sana.”
Teringat aku pada Aida sebelum dia ke PLKN. Sikapnya amat berbeza berbanding sekarang. Aida seorang anak yang patuh dan menghormati orang tua. Tidak seperti sekarang. Tidak. Nama keluarga sangat dijaganya terutama ibu yang cukup dihormati. Ibu mengajar anak-anak kampung mengaji Al-Quran. Namun begitu, sejak pulang dari PLKN semuanya berubah. Aida tergila-gilakan Joe. Aku sekeluarga memang tidak bersetuju dengan pilihan Aida. Kami tahu siapa Joe yang sebenarnya. Joe pernah dibuang sekolah kerana masalah disiplin. Sering bertukar-tukar pasangan dan tidak mustahil Joe terlibat dengan penyalahgunaan dadah kerana kakak Joe juga terlibat. Paling teruk, Joe tidak pernah menunaikan rukun Islam yang kedua selain tidak mempunyai pekerjaan.
Pernah satu ketika, aku terserempak dengan Joe di sebuah bangsal sedang berjudi dikala lelaki lain sedang menunaikan solat Jumaat. Mana mungkin lelaki seperti ini ingin aku sekeluarga harapkan untuk menjaga dan mendidik Aida. Tidak. Malangnya, Aida tidak pernah faham serta nampak apa yang kami cuba lakukan. Seorang ibu dan ayah pasti hanya mahukan yang terbaik buat anak-anaknya. Aida bukan setakat degil, malah sanggup berpura-pura pengsan supaya ibu dan ayah berubah hati dan menerima Joe. Dan sejak itu, aku dapati Aida jarang benar bercakap dengan ibu dan ayah. Dengan aku, jauh sekali. Setiap pertanyaan ibu dan ayah, hanya jelingan yang menjadi balasan. Ayah pula makin tidak sihat memikirkan adikku yang keras kepala itu. Bila aku bertanya, ayah hanya menjawab tiada apa-apa. Seolah-olah menyembunyikan sesuatu. Sikap ayah yang lembut tapi tegas begitu membuatkan aku cukup kagum dan hormatkannya.
“Budak ini terkena ubat guna-guna. Ubatnya agak kuat dan agak sukar untuk membuangnya. Sama-samalah kita berikhtiar dan berdoa pada Allah S.W.T.”
“ Mudah-mudahan doa kita dimakbulkan. Jagalah anak ini supaya jauh dan tidak berhubungan dengan lelaki tu.”
Masih segar dalam ingatan akan pesanan ustaz yang cuba mengubati adikku. Dan yang pasti, pelbagai usaha telah kami sekeluarga lakukan. Kawan-kawan yang sayangkan Aida juga turut tidak ketinggalan memberi nasihat dan motivasi tetapi masih tidak berjaya menyedarkan Aida. Semuanya ditolak mentah-mentah. Bersama ibu dan ayah, aku tetap akan terus berusaha menyedarkan adikku walaupun banyak hati yang telah Aida kecewakan dengan sikapnya. Perkataan putus asa tidak akan wujud sama sekali kerana kami sekeluarga amat sayangkan Aida. Dialah satu-satunya adikku. Tidak mungkin akan kami biarkan masa depan Aida hancur di tangan Joe.
“Aida, dengarlah cakap ayah dan kakak kau tu. Ibu merayu pada Aida. Janganlah seksa kami sekeluarga begini.” Air mata mengalir laju dipipi ibu.
Di saat itu, mahu saja aku menampar adikku kerana menumpahkan air mata ibu yang mengandung dan melahirkannya.
“Aida! Sanggup kau buat ibu menangis dengan kedegilan kau. Tak mengenang budi. Kau tak kasihan ke tengok ibu dan ayah susah hati memikirkan kau. Dah banyak kali kau buat begini. Sedarlah!”
“Aida lebih rela hidup dengan Joe. Susah senang kami bersama. Tak perlulah ibu dan ayah fikirkan tentang Aida lagi. Ibu dan ayah jagalah kakak. Anak kesayangan semua.”
p/s: Tajuk sama tapi cerita tak sama..Komen, jangan tak komen..Hahaha...(Devilish laugh)
No comments:
Post a Comment