MASIHKAH ADA SINAR
Imah masih terperap di dalam bilik. Berbaring sambil merenung skrin telefon bimbitnya. Entah sudah berapa kali pesanan ringkas yang dihantar Halim dibacanya. Dan setiap kali dia membaca pesanan ringkas itu, air matanya akan mengalir jatuh. Selebat titis-titis hujan yang memecah keheningan malam itu.
Maafkan abang, Imah...
Hanya itu yang tertulis. Pendek. Ringkas. Tapi cukup untuk membuat hati kecil Imah hancur luluh. Cinta yang disemai sekian lama, kini terkubur. Ikatan abadi yang diimpikan tidak kesampaian. Hanya kerana insan yang dipanggil ibu.
“Kak Imah.” Sapa satu suara dari muka pintu.
“Oh, Ira. Kakak ingatkan siapa tadi. Masuklah dik.” Balas Imah sambil mengelap air mata yang membasahi pipinya. Telefon yang dipegang tadi dicampak ke sebelah bantal.
“Kak Imah menangis lagi ya.”
“Tak. Mana ada kakak menangis.”
“Kak Imah jangan bohong. Ira nampak kakak menangis tadi. Kenapa ni kak?”
“Tak ada apa-apalah.”
“Kalau tak ada apa-apa takkan kakak menangis.”
“Betul. Tak ada apa-apa. Kakak ok. Ira tak payah risau.”
“Tak apalah kalau kakak tak nak beritahu Ira sekarang. Tapi, kalau kakak ada apa-apa yang nak dikongsi, kakak boleh beritahu Ira, ok?”
Imah hanya membalas dengan senyumam.
“Ok lah kak. Ira masuk tidur dulu ya. Lagipun esok nak kerja. Kakak jangan tidur lewat sangat.”
Imah mengangguk faham. Ira bangun dan terus menuju ke biliknya untuk tidur. Imah mengambil semula telefon bimbit yang dicampak ke tepi bantal dan kembali berbaring. Gambar-gambar dia bersama Halim yang tersimpan di dalam telefonnya, ditatap satu persatu. Fikirannya melayang. Memori saat pertemuan mereka mulai menerjah ke mindanya. Terlalu asyik melayan perasaan, dia tertidur dengan telefon yang tertera gambar Halim, digenggam kemas.
Telefon bimbit Imah berbunyi. Menandakan sudah pukul 7 pagi. Deringan itu membuatkan dia terjaga dari tidurnya. Imah bingkas bangun. Mengambil tuala dan menuju ke bilik mandi. Sebaik sahaja Imah keluar daripada bilik mandi, dia terus dipanggil emaknya.
“Imah.”
“Ya, mak”
“Petang esok, kau jangan ke mana-mana.”
“Kenapa mak?”
“Ada orang nak datang meminang kau.”
“Meminang Imah?Siapa?”
“Pakcik Ramli. Jiran kita masa duduk kat Muar dulu.”
“Imah tak ingatlah, mak.”
“Memanglah kau tak ingat. Waktu kita pindah dulu, kau kan masih kecil lagi. Dia nak pinang kau untuk anak bongsunya, Kamal.”
“Mak, kan Imah dah cakap. Imah tak nak kahwin dengan orang yang Imah tak kenal. Lagipun Imah cuma sayangkan Halim.”
“Halim! Halim! Halim! Tak habis-habis dengan ‘anak emak’ tu. Kan dia sendiri dah putuskan hubungan dengan kau.”
“Dia putuskan hubungan kami bukan atas kehendak diri dia sendiri, mak”
“Ya. Mak tahu. Dia putuskan hubungan dengan kau sebab ibunya yang suruh. Tapi tu bukan alasan untuk kau terus menunggu dia.”
“Tapi mak, Imah sayangkan Halim. Cuma dia yang ada dalam hati Imah.”
“Imah, kau dengar apa mak nak cakap ni. Kau bukannya muda lagi, nak. Umur kau pun dah nak masuk 28 tahun. Lagi 2 tahun, kalau kau tak kahwin, kau akan jadi ‘andartu’. ”
“Imah tak peduli, mak.”
“Tapi mak peduli, Imah. Orang kampung dah sibuk bercakap pasal kau. Macam-macam cerita yang Mak dengar. Dah naik panas telinga mak ni. Kau tak kesian ke dengan mak?”
Imah tidak membalas kata ibunya. Dia hanya mendiamkan diri.
“Sudahlah nak. Mak tak nak berleter panjang-panjang. Ingat pesan mak tadi. Petang esok, kau jangan kemana-mana.”
Imah hanya melihat emaknya berlalu pergi.
Malam itu, Imah termenung sendirian di tepi tingkap, di dalam bilik kecilnya. Perbualan dengan emaknya siang tadi masih bermain-main di fikirannya. Dia sedar, ada betulnya apa yang dicakapkan emaknya.Dia juga tahu, keluarganya telah banyak berkorban, terutama emaknya. Pernah sekali emaknya menggadaikan gelang emas peninggalan arwah nenek, hanya untuk mendapatkan wang bagi membayar yuran pengajian, ketika Imah masih belajar dahulu.
Tapi dia tidak mampu untuk melupakan kekasih hatinya. Kehadiran Halim umpama cahaya mentari yang menerangi hidupnya yang selama ini suram. Dia tidak pernah bertemu lelaki seperti Halim. Dari sehari ke sehari, hubungan cinta mereka semakin kuat. Seolah-olah mereka baru dilamun cinta. Namun, semenjak ibu Halim jatuh sakit, hubungan mereka menjadi semakin renggang. Mereka sudah jarang berjumpa. Halim sibuk menjaga ibunya. Tiada lagi masa untuk diluangkan bersama Imah. Imah pernah mencadangkan agar mereka bernikah dahulu supaya dia dapat bersama-sama menjaga ibu Halim. Tapi ibunya tidak benarkan Halim berkahwin lagi. Imah berasa kecewa dengan tindakan ibu buah hatinya itu. Dia juga hairan dengan sikap abang dan kakak-kakak Halim yang semuanya mengharapkan dia untuk menjaga ibu mereka.
Imah serba salah. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Patutkah dia terus menunggu kekasih hatinya? Atau kehendak emak yang mesti diturutinya? Semakin difikirkan, semakin pening Imah. Lantas dia membuat keputusan untuk memohon petunjuk daripada yang Maha Esa. Imah bangun dari kerusi, menuju ke bilik air. Mengambil air sembahyang. Dan kembali semula kebiliknya. Imah mengambil kain sembahyang dan sejadah terlipat di penjuru katil, lalu mula menunaikan solat Istikharah.
Selesai bersolat, Imah menadah tangan. Dengan linangan air mata, Imah berdoa.
“Ya Allah, tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang. Hanya pada-Mu ku bersujud. Aku sedar aku bukanlah hamba yang taat, yang sentiasa menurut perintah-Mu selama ini. Namun, hanya Engkaulah tempatku mengadu dan memohon hidayah. Ya Allah, tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya aku dalam kekeliruan. Antara kekasih dan keluarga. Aku sayangkan Halim. Dan aku sayangkan keluargaku. Andai aku terpaksa memilih salah satu daripadanya, Kau berikanlah ketenangan jiwa dan petunjuk padaku, agar dapatku buat keputusan yang terbaik. Bukan sahaja untuk diriku, tetapi juga untuk orang-orang yang ku kasihi dan orang-orang yang mengasihiku.”
Selepas itu, Imah melipat kain sembahyang dan sejadahnya, dan meletakkannya semula di penjuru katil. Dia merebahkan badan ke atas tilam, lalu tidur.
Pukul 2.30 petang. Rombongan meminang yang dinanti-nanti akhirnya tiba. 4 buah kereta semuanya. Tetamu yang tiba semuanya lengkap berpakaian tradisional. Yang lelaki segak berbaju melayu dan bersongkok dan yang perempuan ayu berbaju kurung dan bertudung. Emak, ayah dan Ira telah tersedia di muka pintu untuk menyambut Pakcik Ramli sekeluarga. Imah tidak keluar. Dia hanya memandang dari tingkap biliknya.
Setelah tetamu masuk, Imah duduk di bucu katil. Melayan perasaannya sendiri. Tidak lama kemudian, pintu biliknya tiba-tiba terbuka. Membuatkan Imah terjaga dari angannya. Perlahan-lahan emaknya melangkah masuk dan duduk di sebelahnya.
“Imah, Pakcik Ramli dah nyatakan hasrat dia. Dia nak pinang kau untuk anaknya. Sekarang mak nak tanya kau. Kau setuju tak?
Imah hanya mendiamkan diri.
“Imah, kau dengar tak apa yang mak tanya kau ni?”
“Imah dengar mak.”
“Jadi, apa jawapan kau?”
Imah memandang muka emaknya. Dengan linangan air mata, dia berkata.
“Masihkah ada sinar buat Imah, mak?”
p/s:Satu lagi cerpen mengarut. Siap juga akhirnya. Kepala aku dah makin serabut. Lepas ni nak kena buat novelet. 70 muka surat. Argh!!!
7 comments:
ainul...
uwaa..jelez2..ak xsp2 ag ni..isk3;(
Fiza menanti di Novelet tue
ni ko edit cite mn, bro? leh thn ayt2 dy tu... stau ak lu xkreatif gni... o b'jiwa sastera... ahaks!
erm....tajuk dh okay....tp ending die agk kelakar....hehehehehhe.... =)
[intaq]-novelet pulok lepah ni..pening pale boh..
[pali]-Fiza menanti di persimpangan dilema..hahaha(Devilish laugh)
[A d'Z]-oit, original nih..Pecah kepala pikir ayat..hahaha(Devilish laugh)
[lecka]-kelakar sebab aku tak jiwang..sejam pikir nak wat ending camne..hahaha(Devilish laugh)
ainul hebat! hak3
pergh,jiwang berkarat2 gak u ni kn pkck...hu3
ble nak wat cite sal kita lak?
ha3
Post a Comment